Seawal umur 6 bulan gigi susu akan mula tumbuh dan pada umur 2 tahun anak-anak akan memiliki set gigi susu yang lengkap.sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak menjaga kebersihan gigi mereka sejak dari awal lagi.bagaimana ingin melatih anak-anak supaya tidak mengabaikan kebersihan gigi?jom baca tips ajar anak berus gigi
✿ Ajar Anak Cara Yang Betul
Mulakan dengan memberus gigi mereka. Menurut Pakar pergigian, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan mulut kanak-kanak adalah bersih sehingga dia berusia enam tahun. Anda boleh mengajarnya memberus gigi sendiri pada usia tiga hingga empat tahun supaya dia boleh berdikari. Sebelum itu, anda mestilah memberus gigi si kecil sebagai pelajaran pertamanya tentang kebersihan pergigian dan secara tidak langsung akan menjadi rutin hariannya selepas makan.
Anda juga perlu memastikan si manja menggunakan peralatan yang betul seperti berus gigi yang sesuai dengan peringkat usia tiga hingga empat tahun. Berus gigi mesti yang lembut dan bahagian pemegang yang besar. Pilihlah ubat gigi yang diformulasikan khas tanpa fluorida untuk gigi susu dan tanpa gula. Perisa buah-buahan yang harum serta berus gigi yang berwarna-warni dengan gambar watak animasi kesukaannya akan memberikan keseronokan dan keterujaan untuk memberus gigi.
✿ Berikan Kebebasan Memilih
Kanak-kanak pada usia ini suka membuat sendiri dan berlagak seperti orang dewasa. Oleh itu, berikan kebebasan kepada si manja untuk memilih sendiri berus dan ubat gigi. Selain itu, biarkan dia meletakkan sendiri berus gigi pada berus. Selain itu, sebagai galakan kepadanya, anda boleh meletakkan tempat cawan, letak berus gigi dan ubat gigi lebih rendah sesuai dengan ketinggiannya agar mudah dicapai dan menggalakkan dia berdikari memberus gigi sendiri.
✿ Beruslah Bersama-samanya
Jadikan rutin memberus gigi sebagai aktiviti bersama. Sebagai contoh, memberus gigi sebelum tidur. Anda boleh mengajak anak untuk berus gigi bersama-sama yang secara tidak langsung membuatkan dirinya ‘penting’ dan dinanti-nantikan setiap kali sesi memberus gigi.
✿ Bawa Anak Anda Jumpa Doktor Gigi
Selalunya anak-anak lebih mudah mendengar nasihat orang asing daripada mendengar nasihat ibu bapa sendiri. Oleh itu, bawalah anak untuk mendapatkan pemeriksaan doktor gigi. Kebiasaannya selepas pemeriksaan, doktor akan menerangkan kepada si cilik anda tentang status giginya. Di samping itu, doktor yang merawatnya akan menasihatkan dia supaya rajin memberus gigi selepas makan dan mengelakkan makanan seperti gula-gula, makanan ringan dan minuman manis. Bawalah si manja anda membuat pemeriksaan doktor gigi sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
✿ Ciptakan Lagu Istimewa
Ciptakan lagu berirama ceria yang berkisar tentang pergerakan langkah demi langkah memberus gigi supaya si manja anda boleh mengingatinya mudah. Sebagai contoh, liriknya boleh berbunyi begini-“ Gosok luar bulat-bulat, gosok dalam bulat-bulat, gosok depan bulat-bulat, gosok belakang bulat-bulat. Gosok atas, gosok bawah, nanti gigi jadi lawa”. Hal ini akan menjadikan aktiviti memberus gigi lebih menyeronokkan.
✿ Pujilah Anak Anda Dan Berikan Ganjaran
“Bagusnya Ahmad berus gigi sendiri. Nanti petang ibu bawa Ahmad pergi taman permainan ye,” Berikan reaksi positif terhadap kelakuan si cilik anda apabila dia berjaya untuk memberus giginya sendiri. Sebagai contoh pujilah dengan kata-kata yang baik dan berikan dia ganjaran yang sewajarnya. Sebagai contoh, sekiranya dia berjaya memberus gigi dengan baik tanpa membantah, anda akan membelikannya buku, baju idamannya atau membawanya ke taman permainan.
Praktikkan tips ajar anak berus gigi di rumah untuk memastikan kesihatan gigi anak-anak terjamin
INFO GIGI SUSU: Gigi susu mendapat namanya kerana warnanya yang seakan-akan warna susu yang kekuning-kuningan.
credit : pa&ma
Tiada ulasan:
Catat Ulasan